PETALING JAYA,11 OGOS ( Berita Harian): The Chicken Rice Shop (TCRS) memperkenalkan penjenamaan semula berskala nasional sempena ulang tahun ke-26, merangkumi penampilan maskot baharu, pakaian seragam kakitangan, menu bercetak serta beberapa hidangan dan barangan dagangan baharu.
Timbalan Pengurus Besar The Chicken Rice Shop Restaurants Sdn Bhd, Jane Wong, berkata penjenamaan semula itu diperkenalkan bagi menyesuaikan identiti jenama dengan perubahan gaya hidup rakyat Malaysia yang semakin sibuk dengan komitmen kerja dan keluarga.
“Penjenamaan semula ini mencerminkan perkembangan TCRS dalam memenuhi keperluan pelanggan, di samping mengekalkan nilai dan cita rasa tempatan yang menjadi identiti jenama sejak 26 tahun lalu,” katanya.
Antara hidangan baharu yang diperkenalkan ialah Boneless Crispy Roast Chicken, Strawberry Kunafa Pai Tee, BBQ Chicken Mayo Pai Tee dan Cakoi dengan Pandan Gula Melaka.
Selain menu baharu, TCRS turut memperluaskan rangkaian barangan dagangan dengan memperkenalkan Sambal Chilli Crunch keluaran jenama itu, sekali gus membolehkan pelanggan menikmati cita rasa TCRS di rumah.
Sempena sambutan ulang tahun ke-26, TCRS turut melancarkan kempen Merdeka tahunan yang berlangsung sehingga 20 September ini.
Kempen berkenaan menawarkan Merdeka Combo pada harga RM16.90, terdiri daripada satu hidangan ayam pilihan sama ada kukus, panggang atau sos soya, nasi ayam, pilihan keropok lekor atau rojak Penang serta minuman ringan 12 auns.
Wong berkata, promosi itu menjadi sebahagian daripada usaha membawa pengalaman menjamu selera yang mampu milik dan dekat dengan cita rasa tempatan kepada pelanggan di seluruh negara.
Sejak membuka restoran pertamanya pada 2000, TCRS kini mempunyai lebih 160 cawangan di seluruh Malaysia dan berkembang sebagai antara jenama restoran kasual halal tempatan yang dikenali di negara ini.
Dalam pada itu, TCRS terus memperkukuh komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menaja lebih 7,000 hidangan setiap tahun kepada rumah anak yatim, organisasi kebajikan dan taska di seluruh Malaysia sejak 2000.




