KUALA LUMPUR, 3 OGOS ( Berita Harian) – Datuk Badrul Hisham Mohd dilantik sebagai Ketua Pengarah baharu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkuat kuasa hari ini, sekali gus menerajui agenda memperkukuh daya saing industri sawit negara menerusi pemerkasaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), pendigitalan, automasi, mekanisasi serta kemampanan.
Pelantikan beliau diumumkan MPOB hari ini sebagai sebahagian usaha memperkukuh kedudukan agensi itu sebagai peneraju industri sawit global dalam menghadapi perubahan landskap pasaran antarabangsa.
Badrul Hisham mempunyai pengalaman hampir tiga dekad dalam perkhidmatan pentadbiran dan diplomatik, termasuk dalam penggubalan dasar, pembangunan sektor pertanian dan perladangan serta pengurusan strategik di pelbagai kementerian.
Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral), Kementerian Ekonomi sejak 2025.
Selain itu, beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), selain berkhidmat di Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Sepanjang kerjayanya, beliau memainkan peranan penting dalam pembangunan dasar, pengurusan sumber, transformasi organisasi serta penyelarasan pelbagai inisiatif strategik di peringkat nasional.
Beliau juga mempunyai pengalaman luas sebagai Ahli Lembaga Pengarah beberapa agensi kerajaan.
Mengulas pelantikan itu, Badrul Hisham berkata, MPOB kini berada pada tahap kematangan yang memerlukan pendekatan baharu bagi memastikan industri sawit negara terus berdaya saing dalam persekitaran global yang semakin mencabar.
Beliau berkata, penggunaan teknologi digital, automasi dan mekanisasi perlu diperkasakan bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta mempercepat pemindahan teknologi kepada industri.
“MPOB telah berkembang menjadi sebuah institusi yang matang dan berwibawa. Kini adalah masa untuk kita melangkah ke era baharu dengan memanfaatkan teknologi digital, automasi dan mekanisasi bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta mempercepat pemindahan teknologi kepada industri.
“MPOB akan terus memperkukuh peranannya sebagai agensi yang menerajui pembangunan industri sawit negara dengan memberi penekanan kepada inovasi, kemampanan, ketelusan, kebolehjejakan serta penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan responsif selaras dengan aspirasi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK),” katanya.
Di bawah kepimpinan beliau, MPOB akan terus memperkukuh tiga teras strategik penyelidikan dan pembangunan iaitu Pendapatan Tinggi, Nilai Tambah dan Pembangunan Mampan.
Pada masa sama, agensi itu akan mempercepat pengkomersialan teknologi, meningkatkan produktiviti industri serta memperkukuh agenda kelestarian minyak sawit Malaysia di peringkat antarabangsa.




