KUALA LUMPUR, 31 JULAI ( Berita Harian) – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta pengundi Negeri Sembilan mengetepikan perbezaan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan bersama mengekalkan kestabilan serta kesinambungan pentadbiran negeri.
Dalam hantaran video melalui Facebook, hari ini, Perdana Menteri menjelaskan bahawa tempoh berkempen menyaksikan pelbagai pandangan dikemukakan dan mengakui kemungkinan berlaku keterlanjuran dalam kalangan pihak yang bertanding.
“PRN Negeri Sembilan bermula dan kita sudah melalui tempoh kempen dengan pelbagai pandangan dikemukakan.
“Saya percaya dalam proses itu ada keterlanjuran, jadi marilah kita saling bermaaf-maafan dan kembali bersahabat kerana kita semua adalah rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Presiden PKR turut mengajak seluruh rakyat Negeri Sembilan tanpa mengira kaum dan agama untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, esok.
Sekiranya diberikan mandat sekali lagi, beliau berkata, PH akan meneruskan khidmat demi menjamin kestabilan serta memacu pertumbuhan ekonomi yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri itu.
“Saya mewakili PH memohon pertimbangan rakyat supaya diberikan peluang untuk kami meneruskan khidmat, menjamin kestabilan dan memacu pertumbuhan yang akan membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan MADANI,” katanya.
Seramai 859,750 daripada 889,940 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian PRN Negeri Sembilan ke-16, esok.




