KUALA LUMPUR, 30 JULAI – Bank Islam Malaysia Bhd mencadangkan penubuhan dana perantara berasaskan konsep perkongsian risiko sebagai mekanisme untuk membantu usahawan alumni program iTEKAD mengembangkan perniagaan mereka tanpa perlu menanggung kos pembiayaan komersial yang tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz, berkata kebanyakan peserta iTEKAD berjaya meningkatkan pendapatan dan memperluaskan perniagaan hasil geran permulaan yang diterima. Namun, menurut beliau, cabaran mula timbul apabila mereka memerlukan pembiayaan komersial selepas menamatkan program berkenaan.
Katanya, jurang antara pembiayaan sosial dan pembiayaan komersial merupakan antara halangan utama yang boleh menjejaskan perkembangan usahawan mikro.
“Selepas tamat program iTEKAD, peserta yang memohon pembiayaan komersial ada kalanya dikenakan kadar pembiayaan sekitar 12 hingga 14 peratus kerana dikategorikan sebagai perusahaan mikro yang berisiko tinggi.
“Keadaan itu menyebabkan usahawan yang telah mencapai kemajuan terpaksa berdepan kesukaran untuk meneruskan perkembangan perniagaan mereka,” katanya ketika menjadi ahli panel dalam sesi bertajuk From Policy to People: Strengthening the Impact of Islamic Finance sempena Simposium Sasana 2026 di sini, semalam.
Sesi panel berkenaan turut menampilkan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamed Zahid, Pengarah Urusan dan Pemegang Amanah Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki, manakala Pengarah Jabatan Kewangan Islam BNM, Nurul Izza Idris, bertindak sebagai moderator.
Mengulas lanjut, Raja Teh Maimunah berkata instrumen pendanaan baharu perlu diperkenalkan bagi merapatkan jurang antara geran iTEKAD dan pembiayaan komersial, termasuk menerusi kontrak perkongsian risiko seperti musyarakah.
Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan institusi kewangan bersama pihak berkepentingan menyediakan dana yang boleh dikitar semula apabila pembayaran balik diterima, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai usahawan untuk menikmati manfaat yang sama.
“Bukan lagi dalam bentuk geran semata-mata, sebaliknya institusi boleh menyediakan dana yang akan dibayar balik oleh penerima. Dana itu kemudiannya boleh digunakan semula bagi membantu usahawan lain,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa model berasaskan perkongsian risiko lebih bertepatan dengan matlamat kewangan Islam kerana bukan sahaja menawarkan pembiayaan, malah membantu membangunkan keupayaan usahawan untuk berkembang secara mampan.
iTEKAD merupakan inisiatif kewangan sosial Bank Negara Malaysia yang menggabungkan geran modal permulaan, pembiayaan mikro dan latihan keusahawanan bagi membantu usahawan asnaf serta golongan B40 memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.
Sejak diperkenalkan pada 2020, program itu telah memanfaatkan seramai 14,363 usahawan mikro di seluruh negara sehingga akhir Disember 2025.
Menurut Raja Teh Maimunah, kejayaan iTEKAD melahirkan ribuan usahawan baharu perlu disokong dengan ekosistem pembiayaan yang lebih menyeluruh bagi memastikan mereka terus berkembang selepas menamatkan program, sekali gus menjamin kelestarian impak kewangan sosial Islam dalam jangka panjang.




