KUALA LUMPUR, 20 JULAI ( Berita Harian) – Platform e-dagang terkemuka, Shopee hari ini mengumumkan satu siri inisiatif pertumbuhan penjual baharu yang memfokuskan kepada langkah membantu usahawan tempatan memulakan perniagaan dalam talian secara mudah.
Diumumkan di bawah program Shopee Lindung Niaga yang mula diperkenalkan pada April lalu, penambahbaikan terkini ini menawarkan pengecualian Yuran Sokongan Platform selama 60 hari khusus buat penjual baharu.
Langkah strategik inisiatif ini secara langsung dapat mengurangkan kos operasi awal bagi mereka yang baru bertapak, sekali gus memberi ruang selesa kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di platform berkenaan.
Selain pengecualian yuran sokongan itu, platform e-dagang berkenaan turut melaksanakan peningkatan had pesanan tanpa komisen bagi memberi fleksibiliti kepada penjual membina momentum perniagaan dan melabur semula keuntungan mereka.
Had pesanan sebelum yuran komisen dikenakan kini telah digandakan dengan peningkatan daripada 100 pesanan kepada 200 pesanan buat penjual yang layak di bawah program berkenaan.
Manfaat 200 pesanan percuma komisen ini tersedia selama 120 hari dari tarikh penyenaraian produk pertama atau sehingga had pesanan dicapai, bergantung kepada keadaan yang mana lebih awal.
Naib Presiden Shopee Malaysia, Ian Ho berkata, pihaknya amat memahami cabaran yang sering dihadapi oleh PMKS dalam landskap perniagaan yang sentiasa berkembang pantas pada masa kini.
“Justeru, kami terus melabur dalam penyelesaian dan sokongan praktikal yang membantu perniagaan memulakan operasi, berkembang dengan yakin serta beroperasi dengan lebih cekap,” jelas Ho.
Bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang, Shopee juga memperkenalkan kadar komisen lebih rendah dengan pengurangan antara 0.5 peratus hingga 9.0 peratus bagi lebih 60 kategori barangan keperluan harian terpilih, menjadikan jumlah keseluruhan melebihi 120 kategori.
Platform e-dagang berkenaan turut menawarkan tambahan 50 peratus Kredit Iklan Percuma menerusi ‘Ads Startup Booster’ yang berjaya mencatatkan peningkatan 25 peratus dalam Nilai Kasar Barangan (GMV) berdasarkan data dalaman mereka.
Kemudahan tambahan lain termasuk pengecualian komisen untuk penjual baharu yang menyertai perkhidmatan ‘Fulfilled by Shopee’ (FBS) bagi memudahkan akses pengurusan gudang dan logistik bersepadu tanpa kos permulaan yang membebankan.
“Inisiatif terkini ini mencerminkan komitmen jangka panjang kami untuk memperkasa perniagaan tempatan dengan keupayaan yang diperlukan bagi mencapai pertumbuhan mampan, sambil terus menawarkan nilai dan kemudahan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia,” tambah Ho.




