KUALA LUMPUR, 14 JULAI ( Berita Harian ) – Sarawak bakal memiliki kilang pembuatan roti Gardenia pertama menerusi pelaburan RM30 juta yang dirancang oleh Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) hasil kerjasama strategik dengan Sanjung Etika Sdn Bhd.
Perancangan itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara anak syarikat KTC dan Sanjung Etika, anak syarikat milik penuh Yayasan Sarawak, bagi meneroka penubuhan syarikat usahasama yang akan mengendalikan operasi pembuatan roti Gardenia di negeri itu.
Sebagai sebahagian daripada perancangan berkenaan, KTC turut memohon tanah seluas 3.06 hektar daripada kerajaan Sarawak bagi membina kilang berkenaan, yang dijangka mewujudkan kira-kira 500 peluang pekerjaan baharu kepada graduan tempatan serta tenaga kerja mahir.
Kedua-dua pihak menyasarkan untuk memeterai perjanjian usahasama (JV) dan Perjanjian Pemegang Saham dalam tempoh tiga bulan akan datang sebelum penubuhan rasmi syarikat berkenaan.
Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau, berkata syarikat itu menghargai kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh kepemimpinan serta rakyat Sarawak sejak mula melabur di negeri itu sedekad lalu.
Beliau berkata, daripada tiada pekerja ketika memulakan operasi di Sarawak, KTC kini menggaji kira-kira 400 rakyat tempatan, bersamaan 32.5 peratus daripada keseluruhan tenaga kerjanya.
“Ini membuktikan kecekapan pentadbiran, sistem pendidikan dan kebajikan Sarawak dalam melahirkan bakat bertaraf tinggi yang kompetitif untuk pasaran swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, KTC setakat ini merekodkan pelaburan kira-kira RM300 juta di Sarawak yang menjana pulangan tahunan sekitar RM400 juta, selain mengurus aset operasi dan perdagangan bernilai RM140 juta.
Katanya, impak ekonomi dijangka terus diperkukuh menerusi integrasi rantaian bekalan apabila kemudahan pengeluaran Gardenia di Sarawak direalisasikan.
Selain pembinaan kilang, KTC turut merancang memperkenalkan rangkaian produk dan pembungkusan khas dikenali sebagai Gardenia “Sarawak Edition” sebagai penghargaan terhadap identiti serta warisan budaya negeri itu.
Dexter berkata, syarikat itu juga menyokong usaha kerajaan Sarawak memperluaskan jaringan perdagangan serantau, termasuk penubuhan Pejabat Hubungan Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATOS) di Pontianak, Indonesia, yang dilihat berpotensi membuka peluang pelaburan rentas sempadan dengan Sarawak sebagai hab operasi.




