TAMPIN, 11 JULAI– Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas, Ridzuan Ahmad, hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua BERSATU Bahagian Tampin serta keluar daripada keahlian parti itu, berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dimaklumkan menerusi surat bertarikh 11 Julai yang ditujukan kepada Setiausaha Agung BERSATU.
Dalam surat berkenaan, Ridzuan berkata peletakan jawatan sebagai Ketua BERSATU Bahagian Tampin dibuat berkuat kuasa pada hari yang sama, selaras dengan keputusan beliau menamatkan keahlian dalam parti.
“Dengan ini, saya mengemukakan peletakan jawatan sebagai Ketua BERSATU Bahagian Tampin berkuat kuasa pada hari ini, Sabtu, 11 Julai.
“Seiring dengan peletakan jawatan tersebut, saya juga mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dan keluar daripada keahlian BERSATU, berkuat kuasa pada tarikh yang sama,” katanya dalam surat itu.
Ridzuan berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas melalui pertimbangan yang teliti.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan parti, ahli bahagian serta semua pihak yang telah memberikan kerjasama, sokongan dan kepercayaan sepanjang beliau menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin parti di peringkat bahagian.
“Saya mendoakan agar parti terus maju dan berjaya pada masa hadapan,” katanya.
Pengumuman itu dibuat ketika kehangatan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan semakin dirasai, sekali gus mencetuskan perhatian terhadap landskap politik di negeri berkenaan.




