KUALA LUMPUR, 9 JULAI – Firma perakaunan tempatan, KHR, membuktikan keupayaannya untuk bersaing di peringkat tertinggi apabila menjadi satu-satunya firma tempatan yang menaja anugerah pada majlis Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA), sebaris dengan beberapa firma perakaunan antarabangsa.
Penyertaan KHR sebagai penaja bukan sekadar memperkukuh jenama syarikat, malah mencerminkan komitmennya terhadap pembangunan profesion perakaunan serta usaha melahirkan lebih ramai akauntan profesional di negara ini.
Majlis berkenaan turut menjadi detik membanggakan buat KHR apabila empat ahli pasukannya menerima sijil keahlian MICPA selepas menamatkan program profesional masing-masing. Lebih membanggakan, seorang daripada mereka berjaya meraih anugerah merit atas pencapaian cemerlang sepanjang pengajian.
Kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan KHR dalam membangunkan modal insan, termasuk memberi peluang kepada kakitangannya memperoleh kelayakan profesional yang diiktiraf di peringkat industri.
KHR diasaskan oleh Khairuddin, Hasyudeen dan Razi pada 1998 ketika negara berdepan Krisis Kewangan Asia. Bermula dalam suasana ekonomi yang mencabar, firma itu berjaya berkembang menjadi antara penyedia perkhidmatan profesional yang semakin mendapat pengiktirafan dalam bidang audit, percukaian, perundingan dan khidmat nasihat korporat.
Selepas hampir tiga dekad beroperasi, KHR bukan sahaja terus memperkukuh kedudukannya dalam industri, malah berjaya melahirkan ramai akauntan profesional menerusi pelbagai badan perakaunan termasuk MICPA.
Pencapaian itu membuktikan firma tempatan mempunyai keupayaan untuk bersaing dengan pemain global, sekali gus memperlihatkan bahawa kecemerlangan dalam profesion perakaunan tidak hanya dimonopoli firma antarabangsa, tetapi turut mampu dicapai melalui bakat dan kepakaran tempatan.




