JOHOR BAHRU, 8 JULAI– Himpunan Usahawan Johor menjadi platform strategik bagi mempertemukan usahawan, agensi kerajaan dan pemain industri dalam usaha memperkasa ekosistem keusahawanan Bumiputera di negeri ini.
Program itu membuka peluang kepada usahawan untuk memperluaskan kerjasama strategik, mendapatkan akses kepada pembiayaan, pelaburan serta pasaran sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi Johor, khususnya dalam sektor logistik, pembinaan, ekonomi digital, teknologi, pelancongan, makanan dan minuman, perkhidmatan profesional serta rantaian bekalan industri.
Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, yang menegaskan kejayaan usahawan perlu dibina berasaskan usaha berterusan, perancangan rapi dan kerjasama strategik.
Beliau berkata, kejayaan dalam dunia perniagaan bukan sahaja bergantung kepada modal, malah memerlukan lokasi yang strategik, inovasi, keupayaan merebut peluang serta iltizam tinggi bagi menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Menurut beliau, MARA terus komited memperkukuh pembangunan usahawan Bumiputera menerusi pelbagai inisiatif sejak penubuhan RIDA pada 1951, termasuk melahirkan ramai usahawan berjaya dan menyediakan program pembangunan keusahawanan yang meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat.
Himpunan yang bertemakan “Usahawan Dinamik, Pemangkin Kemajuan Johor” itu mencerminkan komitmen berterusan MARA dalam memperkasa usahawan Bumiputera melalui penyediaan platform pembangunan, bimbingan dan jaringan strategik bagi menyokong agenda pembangunan ekonomi Johor.




