KUALA LUMPUR, 5 JULAI – Keupayaan menyesuaikan strategi perniagaan dengan keperluan pasaran terus menjadi faktor penting dalam pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutama dalam industri makanan.
Usahawan rendang dendeng, Nur Syahidah Aimullah Abdul Rahim berkata, pendekatan itu berjaya meningkatkan jualan perniagaannya daripada sekitar RM400 kepada RM18,000 sebulan.
Peningkatan hampir 45 kali ganda itu dicapai selepas beliau memperkukuhkan aspek penjenamaan, pemasaran dan pengurusan perniagaan, sekali gus membuka ruang kepada pengembangan pasaran yang lebih luas.
Nur Syahidah berkata, antara perubahan terbesar yang dilakukannya ialah menukar model produk daripada makanan sejuk beku kepada produk berteknologi retort, yang menawarkan jangka hayat lebih panjang tanpa menjejaskan rasa, tekstur dan kualiti hidangan.
Menurutnya, inovasi itu membolehkan produk rendang dendeng berasaskan daging kerbau dipasarkan dengan lebih meluas serta memenuhi permintaan pengguna yang mahukan makanan sedia dimakan bercita rasa masakan rumah.
“Apabila melihat keperluan pengguna, terutama golongan ibu dan keluarga bekerja yang mempunyai kekangan masa, saya sedar produk perlu disesuaikan dengan gaya hidup semasa. Teknologi retort membantu kami menawarkan produk yang lebih praktikal tanpa mengorbankan kualiti,
Pengembangan produk turut memberi peluang kepada syarikat meningkatkan kecekapan pengedaran dan menembusi pasaran yang sebelum ini sukar dicapai menerusi produk sejuk beku,” katanya
Selain inovasi produk, Nur Syahidah mengakui pembangunan kemahiran komunikasi dan keyakinan diri turut memainkan peranan penting dalam pertumbuhan perniagaan.
Sebelum ini, beliau lebih selesa menguruskan operasi di belakang tabir dan kurang yakin untuk mempromosikan produk secara langsung kepada pelanggan. Namun, selepas mengikuti pelbagai latihan pembangunan diri dan keusahawanan, beliau kini lebih aktif membina jenama, berinteraksi dengan pelanggan serta memanfaatkan platform digital bagi memperluaskan capaian pasaran.
Berasal daripada resipi warisan keluarga, rendang dendeng yang diusahakan Nur Syahidah kini berkembang daripada sebuah produk tradisional kepada jenama yang mempunyai potensi untuk terus berkembang dalam segmen makanan sedia dimakan.
Beliau percaya kejayaan sesebuah perniagaan bukan hanya bergantung kepada kualiti produk, sebaliknya memerlukan kesediaan usahawan untuk belajar, berinovasi dan menyesuaikan strategi mengikut perubahan pasaran.
Program MAGGI® Wanita Cukup Berani, yang disertainya sebelum ini, menjadi antara platform pembangunan keusahawanan yang membantunya memperoleh pendedahan dalam aspek penjenamaan, pemasaran, komunikasi dan pengurusan perniagaan.
Sementara itu, mentor program, Anne Idris berkata, ramai usahawan wanita memiliki potensi besar untuk mengembangkan perniagaan, namun memerlukan bimbingan dalam aspek pembangunan diri dan pengurusan perniagaan bagi meningkatkan daya saing.
Menurutnya, selain strategi pemasaran, usahawan juga perlu menguasai kemahiran komunikasi, pengurusan kewangan, penjenamaan serta penggunaan platform digital untuk memastikan perniagaan mampu berkembang secara mampan.




