PONTIAN, 30 JUN – Lebih 300 usahawan wanita sekitar Parlimen Pontian menyertai Program Pemerkasaan Wanita dan Komuniti MARA 2026 yang berlangsung di Dewan Gemilang, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Dr. Ismail, Johor, sebagai usaha memperkukuh pembangunan keusahawanan, pendidikan dan komuniti, semalam
Program anjuran MARA itu bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai peluang pendidikan, pembangunan keusahawanan serta pelbagai kemudahan yang disediakan agensi berkenaan bagi membantu meningkatkan potensi diri dan mengembangkan perniagaan.
Majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Dr. Haji Ahmad Maslan, yang turut menyampaikan kemudahan pembiayaan MARA kepada lima usahawan.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) berjumlah RM5,000 kepada 50 pelajar daripada keluarga B40 sekitar Parlimen Pontian bagi membantu meringankan beban pendidikan mereka.
Sepanjang program berlangsung, peserta diberi penerangan mengenai pelbagai inisiatif MARA termasuk latihan keusahawanan, kemudahan premis perniagaan dan pembiayaan, selain mengikuti sesi perkongsian bertajuk Wanita Berwibawa: Kekuatan, Ilmu, Kepimpinan dan Akhlak yang disampaikan oleh Puan Norzakiah Yacob.
Dalam ucapan alu-aluan, Pengerusi Program Pemerkasaan Wanita dan Komuniti MARA, Senator Datuk Rosni Sohar berkata penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan perlu terus diperkasakan bagi meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran MARA, Faisalludin Mohamat Yusuff; Pengarah MARA Negeri Johor, A. Razu Abdul Razak; serta Ketua Masyarakat Pulai Sebatang, Puan Hajah Hasrunizah Hasan.
Penganjuran program tersebut mencerminkan komitmen berterusan MARA dalam memperluaskan akses kepada pendidikan, pembangunan keusahawanan dan pemerkasaan komuniti, sejajar dengan aspirasi pembangunan modal insan negara serta sambutan 60 Tahun MARA.




