KUALA LUMPUR, 20 JUN — Jenama bantal hotel terkenal, Das Abdul Global (DAG®), mengesahkan telah menamatkan operasi gudangnya selepas lebih sedekad beroperasi dalam industri.
Pengasasnya, Azizul Md Kassim, berkata keputusan itu terpaksa dibuat selepas beliau dan isterinya tidak lagi mampu menanggung bebanan operasi perniagaan yang semakin mencabar.
Perkara itu dikongsikan menerusi sebuah video yang tular di media sosial, di mana beliau meluahkan perasaan mengenai penutupan perniagaan yang dibangunkan daripada usaha kecil sehingga berkembang menjadi antara jenama bantal yang dikenali ramai di Malaysia.
Menurut Azizul, perniagaan tersebut bermula dari belakang bonet kereta bersama isterinya sebelum berkembang dengan ribuan ejen di seluruh negara dan merekodkan jualan hampir tiga juta biji bantal dalam tempoh 10 tahun.
Beliau bagaimanapun mengakui paling terkesan bukan kerana kehilangan perniagaan, tetapi kerana masih mempunyai janji dan tanggungjawab yang belum dapat diselesaikan kepada keluarga serta ejen-ejennya.
“Saya masih mempunyai hutang dan amanah yang perlu diselesaikan. Saya mohon doa agar dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Walaupun operasi gudang dan pejabat telah ditutup, Azizul memaklumkan beliau masih meneruskan usaha membangunkan perniagaan baharu bersama beberapa kakitangan yang kekal setia.
Di akhir perkongsiannya, beliau turut memohon doa daripada orang ramai agar diberikan kekuatan untuk bangkit semula dan menyelesaikan segala komitmen yang masih tertunggak.




