KUALA TERENGGANU, 13 JUN – Usahawan kelahiran Terengganu, Kamarulzaman Abdul Manan berjaya membangunkan rangkaian perniagaan makanan Malaysia di Ireland, sekaligus menjadi antara pusat pengedaran produk makanan Asia di negara tersebut.
Lebih dikenali sebagai “Abang Man”, beliau memulakan perniagaan sekitar tahun 2005 melalui ManMa Foods dengan mengimport makanan Malaysia dalam skala kecil bagi memenuhi keperluan komuniti Malaysia di Ireland.
Nama perniagaan awal itu dikatakan berasal daripada gabungan nama “Man” dan “Norma” Dr Norma Mohamad.
Pada tahun 2007, Abang Man membuka Hibiscus Store di Lucan, Dublin, yang kemudiannya berkembang daripada operasi kecil kepada kedai runcit serta pusat pengedaran produk makanan Malaysia dan Asia ke pasaran Ireland dan beberapa negara Eropah.

Perniagaan tersebut kini menjadi salah satu platform penting bagi pemasaran produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Malaysia, khususnya dari Terengganu, termasuk keropok lekor, keropok keping, rempah ratus, pes masakan serta pelbagai produk makanan sejuk beku.
Pada tahun 2022, usaha memperluaskan pasaran produk tempatan ke Eropah diperkukuh apabila kira-kira 20 produk IKS Terengganu dibawa ke Dublin melalui kerjasama pelbagai pihak pembangunan usahawan negeri untuk dipasarkan melalui rangkaian perniagaan berkenaan.
Hibiscus Store kini berfungsi bukan sahaja sebagai kedai runcit, tetapi juga sebagai pusat pengedaran makanan Malaysia di Ireland yang menyasarkan komuniti diaspora serta pelanggan tempatan yang berminat dengan makanan Asia.
Kejayaan Kamarulzaman dalam membangunkan perniagaan ini dilihat sebagai antara contoh usahawan Malaysia di luar negara yang berjaya memperluaskan pasaran produk tempatan ke peringkat antarabangsa.



