ST. PETERSBURG, 9 JUN – Rusia merancang untuk memansuhkan keperluan visa bagi warganegara Malaysia, Indonesia dan Kuwait tahun ini.
Pengarah Jabatan Kerjasama Ekonomi Pelbagai Hala dan Projek Khas Kementerian Pembangunan Ekonomi Rusia, Nikita Kondratyev, berkata ketiga-tiga negara berkenaan menjadi keutamaan dalam usaha memperluaskan hubungan diplomatik dan ekonomi Rusia.
“Malaysia dan Indonesia adalah keutamaan utama bagi tahun ini. Kami juga menjangkakan Kuwait. Ini mungkin tiga negara yang kami mahu selesaikan proses rundingan tahun ini,” katanya dalam satu temu bual bersama agensi berita Rusia, TASS, sempena Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg (SPIEF).
Beliau berkata Kementerian Luar Rusia akan mempergiatkan usaha bagi memuktamadkan dan menyelaras perjanjian berkaitan dalam masa terdekat.
SPIEF yang berlangsung dari 3 hingga 6 Jun dianjurkan dengan tema “Pragmatic Dialogue: The Path to a Stable Future”.
Menurut Anton Kobyakov, penasihat kepada Presiden Rusia dan setiausaha eksekutif jawatankuasa penganjur SPIEF, forum tersebut menghimpunkan wakil dari 142 negara dengan lebih 1,000 perjanjian dimeterai, bernilai lebih 6.642 trilion ruble (RM367.75 bilion/AS$90.4 bilion).
Forum berkenaan dianjurkan oleh Roscongress Foundation dengan agensi berita TASS sebagai rakan media rasmi.




