Kredit gambar- Berita Harian
DUNGUN, 2 JUN – Empat yang terkorban dalam kemalangan jalan raya membabitkan lima kenderaan di Simpang Renggam, Johor, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), di sini pagi tadi.
Suasana pilu menyelubungi perkarangan tanah perkuburan berkenaan apabila kesemua jenazah tiba kira-kira pukul 9.22 pagi selepas selesai disolatkan.
Mangsa yang terkorban dalam tragedi itu ialah Mohd Aiman Mohd Rashid, 36; isterinya, Nor Azlina Abd Latif, 33; ibu mentuanya, Semek Mat Soh, 73; serta anak saudara mereka, Nur Airish Syifa Sidek, 10.
Terdahulu, kenderaan yang membawa kesemua jenazah tiba di masjid berkenaan kira-kira pukul 8.30 pagi dari Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, sebaik sahaja proses bedah siasat selesai dijalankan malam tadi.
Susulan itu Polis menahan reman seorang remaja bagi membantu siasatan atas kesalahan memandu secara melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.
Suspek berusia 19 tahun dipercayai individu yang memandu secara berbahaya bersama abangnya berusia 22 tahun yang memandu BMW 530e hingga menyebabkan kemalangan pada jam 1.15 tengah hari semalam.

Terdahulu suspek tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Batu Pahat pada jam 10.20 pagi sebelum dibawa ke kamar untuk perintah reman.
Berlaku kekecohan seketika apabila peguam suspek bertindak menghalang jurugambar merakam gambar lelaki terbabit sebaik dibawa turun dari trak polis.
Sementara itu, abang suspek yang memandu kenderaan BMW 530e dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata polis meminta orang ramai mempunyai maklumat berhubung kemalangan ini menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-7784222, 07-7766822 (hotline), 07-7784256 atau 014-365682.




