BERUAS- Datuk Dr. Azhar Ahmad menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya beliau telah menampar seorang mahasiswa yang juga cucu Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Dakwaan itu dibuat ketika beliau menghadiri Program Pemerkasaan Bangsa Pemimpin Pelajar dan Pengurusan Kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik pada 20 Mei lalu.
Azhar yang juga Ketua Umno Beruas berkata, dakwaan yang tersebar menerusi video dan beberapa laporan berhubung insiden tersebut adalah tidak benar serta telah menimbulkan persepsi yang salah terhadap dirinya.
Beliau menjelaskan, kejadian sebenar berlaku selepas selesai menyampaikan syarahan apabila beliau berjalan menuju ke Dewan Makan sebelum diperkenalkan kepada Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Kelantan.
“Ketika itu saya dimaklumkan bahawa beliau merupakan anak saudara kepada seorang sahabat saya. Dalam suasana yang mesra, saya bersalaman dan menyentuh pipinya sebagai tanda kemesraan memandangkan hubungan saya dengan keluarganya,” katanya




