KUALA LUMPUR, 29 MEI (Berita Harian) – PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PNBMV), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), sedang giat melaksanakan inisiatif untuk menghidupkan semula kawasan sekitar Kuala Lumpur menerusi penglibatan komuniti, khususnya di presint Merdeka 118 dan Menara Merdeka 118.
Langkah strategik ini merupakan sebahagian daripada inisiatif nasional Warisan KL yang bertujuan membangunkan bandar yang lebih sesuai untuk didiami, selain merangsang pertumbuhan sektor pelancongan, perusahaan komuniti dan aktiviti komersial.
Ketua Pegawai Eksekutif PNBMV, Datuk Ir Izwan Ibrahim dalam satu kenyataan berkata: “Merdeka 118 berdiri di dalam salah satu kawasan kejiranan Kuala Lumpur yang paling bersejarah, dan kami percaya presint ini harus berkembang dengan cara yang menghormati penduduk, tempat dan cerita harian yang memberikan bahagian bandar ini jiwanya.”
Inisiatif ini mencerminkan komitmen korporat dalam mengintegrasikan bangunan kedua tertinggi di dunia itu dengan persekitaran setempat bagi menyokong kelestarian ekonomi ibu kota.
Melalui Program Geran Komuniti Merdeka 118 Kitaran 3, dana disalurkan kepada penggiat seni tempatan seperti Dipapansembilan Studio untuk menghasilkan karya seni awam yang memberi nilai tambah kepada ruang bandar.
Antara hasilnya ialah mural bertajuk “Kaki Lima Stories: Life in the Five Foot Ways of Downtown Kuala Lumpur” yang sedang dibangunkan di dinding melengkung sepanjang Jalan Hang Jebat, memaparkan elemen kehidupan Kuala Lumpur lama seperti laluan kaki lima, kedai kopi, kerusi tukang gunting rambut, beca dan interaksi kejiranan.
Mural ini juga menjadi sebahagian daripada laluan utama dari Jalan Petaling ke presint Merdeka 118, sekali gus memperkukuh keterhubungan ruang bandar melalui seni awam, pencahayaan dan landskap di bawah Projek Penambahbaikan Jalan Hang Jebat.
Pengarah Urusan Think City, Datuk Hamdan Abdul Majeed berkata: “Bekerjasama dengan PNBMV melalui Program Geran Komuniti Merdeka 118, kami telah melihat bagaimana komuniti boleh membawa dinamisme, kreativiti dan inovasi baharu ke dalam ruang ini, mengubahnya menjadi platform untuk perkongsian kenangan, ekspresi dan penyertaan.”
Projek penjanaan semula bandar itu turut melibatkan penyertaan aktif korporat apabila 35 sukarelawan daripada PNB dan PNBMV terlibat dalam kerja awal mengecat latar belakang mural berkenaan.
Inisiatif tersebut dijangka siap menjelang pertengahan Julai 2026 dan akan turut melibatkan penyertaan pelajar sekolah di sekitar presint Merdeka 118.
Selain seni jalanan, ekonomi kreatif tempatan turut diperkukuh melalui pameran fotografi hitam putih bertajuk “Under the Shadows of Merdeka” oleh Azul Adnan bersama rakannya Grace Ho, yang memaparkan kehidupan sekitar Bukit Bintang, Pudu dan Kampung Attap.
Pameran tersebut dipamerkan di Lobi Selatan, Menara Merdeka 118, selain aktiviti berjalan sambil merakam gambar yang diketuai Azul pada Mei dan Jun 2026 bagi meneroka kawasan sekitar.
Turut disediakan ialah jualan buku meja kopi dan cetakan terpilih di Riwayat Bookstore bagi menyokong penggiat seni tempatan.
Dalam masa sama, festival “Echoes of Chinatown” di Kwai Chai Hong anjuran Apostrophe Marketing Communications Sdn. Bhd. turut menjadi tarikan pelancongan menerusi pengalaman imersif yang mengetengahkan warisan serta kreativiti Kuala Lumpur.
“Melalui mural komuniti Jalan Hang Jebat dan pameran fotografi Under the Shadows of Merdeka, selaras dengan tujuan Warisan Kuala Lumpur yang lebih luas dan usaha kolaboratif, kami memperdalam penghayatan awam dan penjagaan warisan bandar raya dengan menghubungkan komuniti dengan sejarah Kuala Lumpur dalam cara yang bermakna dan boleh diakses,” kata Izwan.




