DUNGUN, 16 Mei – Selepas 17 tahun beroperasi, Klinik Pergigian KPS DentalCare Pak Sabah Dungun kini dijenamakan semula dengan penampilan dan kemudahan baharu bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif Speedoffice Sdn. Bhd., Haji Norlukmal Mat Ghani berkata, penjenamaan semula itu bukan sahaja melibatkan pengubahsuaian premis, malah turut merangkumi penambahan kemudahan serta penggunaan peralatan pergigian terkini.
Beliau berkata, usaha tersebut selaras dengan komitmen klinik berkenaan untuk menyediakan perkhidmatan pergigian yang lebih moden, selesa dan berkualiti kepada masyarakat setempat.
“Penjenamaan semula ini diharap dapat memperkukuhkan lagi peranan Klinik Pergigian KPS DentalCare Pak Sabah Dungun dalam menyediakan perkhidmatan pergigian terbaik kepada pelanggan, khususnya penduduk di daerah ini.
“Secara keseluruhannya, KPS Dentalcare mempunyai 12 cawangan di Terengganu, Pahang dan Kelantan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan semula klinik itu di sini, semalam.
Turut hadir pada majlis tersebut, Pengarah Urusan KPS DentalCare, Dr. Syarifah Fazlina Seyed Fadzir; Pengarah COSPI, Wan Abdul Hakim Wan Muhammad; wakil Majlis Perbandaran Dungun, Khairul Izhan serta Imam Masjid Pak Sabah, Ustaz Bukhari.
Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti komuniti termasuk saringan kesihatan dengan kerjasama Klinik Ikram Dungun, pemeriksaan gigi percuma dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.
Speedoffice Sdn. Bhd.merupakan syarikat penyedia perkhidmatan profesional dalam bidang rundingan dan latihan keusahawanan turut memainkan peranan sebagai syarikat pembangunan serta bimbingan kepada klinik tersebut menerusi program GrowBiz sejak setahun lalu.




