MELAKA, 15 MEI (Sinar Harian) – Seorang lelaki berusia 32 tahun cedera selepas terjatuh ke dalam longkang sedalam hampir empat meter ketika cuba menyelamatkan seekor kucing di Taman Melaka Perdana, Ayer Keroh, pada Jumaat.
Dalam kejadian sekitar jam 11 pagi itu, mangsa dipercayai terpijak penutup longkang konkrit sebelum terjatuh dan terperangkap hampir 30 minit sebelum disedari orang awam.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka dengan kekuatan 14 anggota bergegas ke lokasi dan berjaya mengeluarkan mangsa.
Mangsa mengalami kecederaan di kaki kanan sebelum dihantar ke hospital oleh ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.




