KUALA LUMPUR, 11 MEI (Berita Harian) – SME Corporation Malaysia (SME Corp), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), memperuntukkan dana sebanyak RM12 juta bagi terus memperhebat pembangunan usahawan dan perniagaan tempatan.
Peruntukan yang bakal memanfaatkan 500 usahawan belia Bumiputera itu disalurkan menerusi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera Skala (TUBE-S) yang diadakan secara serentak di tiga zon iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak bermula 4 hingga 10 Mei 2026.
Program TUBE-S yang diperkenalkan pada tahun ini adalah kesinambungan daripada Program TUBE terdahulu yang adalah program latihan keusahawanan menyasarkan golongan belia Bumiputera berumur di antara 18 tahun hingga 30 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Datuk Nainy, berkata program TUBE yang bermula sejak tahun 2014 telah menjadi inisiatif Kerajaan yang berimpak tinggi untuk melatih usahawan belia Bumiputera.
Katanya, sehingga tahun 2025, seramai 9,043 belia telah mendapat manfaat, melahirkan sebanyak 8,805 perniagaan baharu serta penciptaan lebih 20,000 peluang pekerjaan.
“Malah, usahawan belia di bawah program ini telah berjaya menjana jualan terkumpul mencecah RM252 juta setakat ini,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Rizal berkata, falsafah SME Corp Malaysia adalah untuk menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dari titik mula sehingga mereka mampu berdiri megah sebagai pemain industri.
Jelasnya, agensi itu bukan sekadar memberi geran, tetapi membina keyakinan, disiplin dan daya tahan.
“Saya juga menyeru agar peserta program menjadikan segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini sebagai bekalan paling bernilai yang perlu dibawa pulang dan diamalkan dalam perniagaan”, tambah beliau.
Program TUBE-S Zon Semenanjung telah disertai oleh seramai 342 belia Bumiputera dan 50 usahawan asnaf di bawah Program Tunas Usahawan (PROTAS) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Pada masa sama, Program TUBE-S di Sabah dan Sarawak pula masing-masing telah berjaya melatih seramai 102 dan 43 belia Bumiputera.




