KUALA LUMPUR,8 MEI (Berita Harian) – Komuniti perniagaan tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), berdepan risiko kerugian kewangan besar akibat eksploitasi penjualan sijil dan plak yang didakwa menggunakan nama ‘ASEAN Record’ dengan bayaran mencecah puluhan ribu ringgit.
Persatuan Pengguna Semenanjung Malaysia (PPSM) dalam satu kenyataan berkata kegiatan syarikat swasta yang didakwa mendekati dan mengelirukan PKS supaya membeli pengiktirafan yang disyaki tidak sah itu.
Presiden PPSM, Sharif Ahmad, berkata pihaknya menerima pelbagai aduan daripada syarikat dan orang awam berkaitan penipuan kewangan berkenaan.
Beliau berkata, PPSM turut memperoleh surat pengesahan rasmi daripada Sekretariat ASEAN yang mengesahkan badan serantau itu tidak menyokong atau membenarkan kutipan bayaran menerusi pihak ketiga yang tidak diberi kuasa.
Menurutnya, penggunaan nama ASEAN bagi tujuan komersial amat meragukan kerana organisasi itu adalah badan antara kerajaan yang diwakili ketua kerajaan negara anggota termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan bukannya entiti perdagangan.
“ASEAN tidak membenarkan nama organisasi itu digunakan untuk tujuan komersial atau pengeluaran sijil dan rekod berorientasikan keuntungan oleh pihak swasta,” kata Sharif.
Beliau berkata, perkara itu juga selaras dengan amalan organisasi serantau lain seperti Kesatuan Eropah (EU), Kesatuan Afrika (AU) dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang tidak pernah mengeluarkan pengiktirafan komersial menerusi entiti persendirian.
Bagi memastikan kebertanggungjawaban awam, PPSM kini giat mengumpulkan semua aduan berkaitan daripada mangsa sebelum merujuk kes yang disahkan kepada pihak berkuasa penguat kuasa untuk siasatan lanjut.
Selain itu, katanya, persatuan berkenaan komited untuk terus bekerjasama dengan Sekretariat ASEAN dan agensi perlindungan pengguna bagi mengenal pasti serta menghentikan amalan penipuan terbabit.
Sebagai langkah pencegahan untuk melindungi PKS daripada terus menjadi mangsa eksploitasi, PPSM merancang menerbitkan panduan khas bagi membantu peniaga mengenal pasti pengiktirafan yang benar-benar sah.
“Minta dokumen bertulis yang boleh disahkan serta pengesahan bebas sebelum membuat sebarang pembayaran,” nasihat beliau kepada PKS sambil mengingatkan mereka supaya menyimpan semua resit dan rekod komunikasi.
Mana-mana pihak atau PKS yang mempunyai maklumat lanjut atau memerlukan bantuan disaran menghubungi talian WhatsApp PPSM di 011-6794 7194 atau e-mel ppsmmal.my@gmail.com.




