SINGAPURA, 16 SEPT ( Reuters) – Grab akan mengambil alih penyedia perkhidmatan beli sekarang, bayar kemudian (BNPL), Atome Financial, menerusi urus niaga yang berpotensi menilai syarikat berkenaan sehingga AS$4.5 bilion (RM18.20 bilion), sekali gus mempercepat pengembangannya dalam pasaran kredit pengguna Asia Tenggara.
Grab pada peringkat awal akan membeli 60 peratus kepentingan dalam Atome yang berpangkalan di Singapura pada harga AS$1.49 bilion (RM6.03 bilion).
Pengambilalihan itu akan menggabungkan perniagaan pinjaman BNPL, pinjaman tunai pengguna, kad BNPL dan pinjaman digital Atome dengan perkhidmatan kewangan Grab.
Grab turut bersetuju membeli baki 40 peratus kepentingan kira-kira dua tahun selepas urus niaga selesai menerusi rangka kerja berkaitan prestasi berdasarkan EBITDA dan hasil Atome.
Struktur berkenaan menilai Atome antara AS$2 bilion (RM8.09 bilion) hingga AS$4.5 bilion (RM18.20 bilion).
Urus niaga itu dijangka selesai menjelang suku ketiga 2027.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Operasi Grab, Alex Hungate, berkata pengambilalihan berkenaan membolehkan syarikat mempercepat pengembangan perkhidmatan BNPL di seluruh rantau.
Grab sudah membangunkan produk BNPL di Malaysia dan Singapura, namun pengambilalihan Atome membolehkannya mempercepat peluasan ke Filipina, Indonesia dan Thailand.
Hungate berkata, langkah berkenaan membolehkan Grab memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan skala perniagaan berbanding mengambil masa bertahun-tahun membangunkan model kredit serta menanggung kerugian yang lazimnya diperlukan untuk memperhalusi model berkenaan.
Grab mula memperkenalkan produk ansuran tanpa faedah untuk pembelian pengguna pada 2019 menerusi usaha sama dengan syarikat kad kredit Jepun, Credit Saison.
Hungate berkata, Grab juga boleh memanfaatkan tiga bank digital miliknya untuk mengurangkan kos pembiayaan aset Atome.
Grab kini beroperasi di lebih 900 bandar di Asia Tenggara dan mengendalikan institusi pinjaman digital berlesen di Singapura, Malaysia dan Indonesia.
Seiring pengumuman pengambilalihan itu, Grab turut menaikkan sasaran kewangan bagi 2028 dengan mengunjurkan EBITDA larasan AS$1.7 bilion (RM6.88 bilion) serta pertumbuhan hasil tahunan melebihi 30 peratus antara 2025 hingga 2028.
Ketua Pegawai Kewangan Grab, Peter Oey, berkata: “Tertakluk kepada tempoh penyelesaian urus niaga, kami menjangkakan Atome Financial bersama keseluruhan segmen Perkhidmatan Kewangan kami menjana EBITDA larasan AS$500 juta (RM2.02 bilion) menjelang 2028 dengan portfolio pinjaman kasar gabungan melebihi AS$6 bilion (RM24.27 bilion).”
Ketua Pegawai Eksekutif firma perunding Momentum Works yang berpangkalan di Singapura, Jianggan Li, berkata Grab pada dasarnya membeli masa dan skala menerusi pengambilalihan itu.
“Kredit pengguna di Asia Tenggara semakin banyak berada dalam platform perdagangan besar atau ekosistem dompet digital utama. Apabila penilaian kredit dan kutipan semakin menjadi komoditi, pengedaran menjadi lebih penting,” katanya.
Pengambilalihan itu juga mencerminkan usaha Grab memperkukuh perniagaan perkhidmatan kewangan di samping operasi e-panggilan dan penghantaran, ketika syarikat mencari produk dengan margin lebih tinggi bagi menangani peningkatan kos operasi.



