MELAKA, 25 OGOS (Berita Harian) – Pemuda UMNO akan terbabit secara langsung dalam perbincangan bagi menentukan gabungan politik yang akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata pembabitan sayap UMNO itu penting memandangkan pergerakan berkenaan adalah sebahagian daripada Biro Politik UMNO.
“Sudah tentu (akan berbincang bersama). Sebenarnya Pemuda ini adalah sebahagian daripada Biro Politik UMNO, jadi sudah semestinya ia akan membabitkan kita.
“Kita tunggulah 28 Ogos nanti Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan bermesyuarat, insya-Allah akan ada keputusan yang baik untuk semua orang Melaka nanti,” katanya.
Dr Akmal yang juga Ketua Pemuda BN berkata, kerjasama politik dalam mendepani PRN Melaka dijangka menjadi antara agenda yang akan dibincangkan dalam mesyuarat MKT UMNO terbabit.
Beliau tidak menolak kemungkinan keputusan memilih gandingan gabungan parti untuk bersama dalam PRN itu kelak akan diputuskan pada mesyuarat itu.
Minggu lalu, Ahli MKT, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dilaporkan berkata, jajaran politik baharu yang terbentuk di Negeri Sembilan mungkin akan diteruskan pada PRN Melaka.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, berkata perkara itu bagaimanapun akan dibincang dan diputuskan dalam Mesyuarat MKT pada 28 Ogos ini.
Katanya, mesyuarat yang akan dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu akan membincangkan secara serius strategi terbaik bagi memastikan kemenangan BN pada PRN Melaka.




