IPOH, 25 OGOS ( Bernama) – Pengarah dan pelakon veteran tersohor tanah air, Datuk Rahim Razali, menerima Anugerah Tokoh Zaid Bin Thabit (Tokoh Pengamal Komunikasi dan Media) sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Perak, di sini, hari ini.
Pemilik nama penuh Abdul Rahim Mohd Razali, 87, yang juga anak jati Batu Gajah, Perak, dan pengulas sukan terkenal itu pernah berkhidmat sebagai pembantu penyiaran di RTM sebelum menubuhkan syarikat sendiri, Angkatan Seniman Abad XX Sdn Bhd, pada 1981.
Beliau yang membintangi filem ‘Abang’ dan ‘Abang 92’ berpengalaman menerbitkan 50 drama untuk RTM dan 15 filem dengan lapan filemnya pernah terpilih ke Festival Filem Tokyo di Jepun.
Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan menyampaikan anugerah tokoh Maulidur Rasul Perak bagi tahun ini, termasuk kepada Rahim yang membawa pulang RM5,000 berserta plak.
Sementara itu, ibu tunggal kepada 15 cahaya mata berasal dari Kuala Kurau, Yang Walat, 82, menerima Anugerah Tokoh Keluarga Mithali atau Anugerah Keluarga Amar Yassir dengan membawa pulang RM10,000, pakej umrah dan plak.
Anugerah Ibnu Abbas atau Tokoh Pendakwah pula disampaikan kepada Radhi Kamarul Hailan, 56; Anugerah Pegawai Masjid (Tokoh Siak) diterima oleh Saharuddin Hassim, 74; manakala Yahya Man, 83, dianugerahkan Tokoh Bilal.
Selain itu, Anugerah Tokoh Imam disampaikan kepada Mohd Hanafiah Idris, 56, dan Pertubuhan Wanita Prihatin Perak menjadi penerima Anugerah Tokoh Pertubuhan Bukan Kerajaan.




