KUALA LUMPUR, 15 OGOS (Bernama) – Syarikat teknologi dan infrastruktur digital, Theta Edge Bhd melantik Datuk Amrul Hisyam Alias sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan, berkuat kuasa,semalam.
Syarikat itu berkata, Amrul Hisyam menggantikan Datuk Nuraslina Zainal Abidin, yang telah meletak jawatan sebagai Pengarah Urusan dan CEO kumpulan untuk mengejar komitmen peribadi.
Pelantikan itu menekankan komitmen lembaga pengarah untuk mengukuhkan keupayaan kepimpinan kumpulan ketika syarikat terus mengembangkan jejaknya dalam teknologi, telekomunikasi, infrastruktur digital dan projek integrasi sistem berskala besar.
Amrul Hisyam, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif Theta Edge, merupakan pengasas dan bekas pengerusi kumpulan infrastruktur telekomunikasi bersepadu, Stealth Group of Companies, dengan pengalaman operasi lebih dua dekad di Malaysia.
Beliau berjaya memimpin dan membangunkan perniagaan berfokuskan infrastruktur sambil memainkan peranan penting dalam memajukan infrastruktur telekomunikasi serta ketersambungan di seluruh negara sepanjang kerjayanya.
Di bawah kepimpinannya, Stealth Group berkembang daripada pengendali berasaskan projek kepada platform infrastruktur bersepadu yang merangkumi pemerolehan tapak, pembangunan menara bina mengikut kesesuaian, pemilikan aset dan operasi rangkaian jangka panjang.
Oleh itu, lembaga percaya bahawa ‘kepakaran industri yang mendalam, visi strategik dan keupayaan kepimpinan yang terbukti Amrul Hisyam akan mengukuhkan lagi kedudukan Theta Edge sebagai pemain infrastruktur digital serta teknologi terkemuka’.
Memandang ke hadapan, Theta Edge berkata ia akan memberi tumpuan kepada peluang dalam infrastruktur digital, telekomunikasi, mobiliti pintar dan penyelesaian teknologi.




