WASHINGTON, 14 OGOS ( AFP) – Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Scott Bessent, pada Khamis mengancam untuk mengenakan pengasingan ekonomi terhadap Iran pada tahap yang disifatkannya sebagai ‘belum pernah dilihat dunia’, sambil menambah bahawa langkah baharu dijangka diumumkan minggu depan.
“Ia akan menjadi gabungan pengasingan ekonomi, seperti yang belum pernah dilihat dunia sebelum ini,” kata Bessent kepada rangkaian televisyen konservatif Newsmax, sambil menambah bahawa ‘sekatan berterusan di Selat Hormuz… akan menghalang apa sahaja daripada masuk atau keluar dari pelabuhan Iran’.
“Tunggu dan lihat pengumuman lanjut yang akan dibuat minggu depan,” katanya.
Bessent menyifatkan pendekatan itu sebagai strategi dua serampang yang melibatkan tekanan kewangan serta sekatan fizikal terhadap pelabuhan Iran.
Naib Presiden AS, JD Vance, sebelum ini berkata keutamaan utama AS dalam perang dengan Iran adalah untuk menurunkan harga minyak dan petrol bagi rakyat Amerika, manakala menghalang Tehran daripada memperoleh senjata nuklear kini berada di tempat kedua.
Pendirian lebih tegas itu berbeza dengan kenyataan Bessent pada 4 Ogos lalu, apabila beliau memberitahu CNBC bahawa perjanjian dengan Tehran untuk membuka semula Selat Hormuz boleh dicapai dalam tempoh beberapa hari.
Kenyataan tersebut menyebabkan pasaran saham Wall Street meningkat, manakala harga minyak merosot.




