KUALA LUMPUR,11 JULAI ( Berita Harian)- Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir membidas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang melabel Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai ‘lembab seperti kura-kura’ berhubung isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Kritikan Kor Ming itu dibuat berhubung pelaksanaan keputusan berkaitan laluan kemasukan lepasan UEC ke universiti awam.
Zambry berkata, setiap keputusan yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri adalah keputusan bersama berlandaskan prinsip tanggungjawab kolektif (collective responsibility).
“la akan disusuli dengan tindakan menyeluruh dan proses yang turut membabitkan penyelarasan dengan Kementerian Pendidikan dan pelbagai agensi berkaitan.
“Sekiranya terdapat sebarang perbezaan pandangan, tempat untuk membincangkannya ialah di meja Jemaah Menteri, bukannya melalui kenyataan terbuka yang tidak menghormati tatakelola Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, keputusan Jemaah Menteri sewajarnya dihormati semua anggota pentadbiran.
“Saya memandang serius dan membidas sekeras-kerasnya kenyataan tidak bertanggungjawab Kor Ming berhubung pelaksanaan keputusan berkaitan laluan kemasukan lepasan UEC itu,” katanya.
Kor Ming dilapor membuat dakwaan itu ketika berceramah pada kempen Pilihan Raya Negeri Johor di Kampung Abdullah, Segamat.




