SUBANG JAYA, 9 JULAI – Keberanian sekumpulan bekas pengurus IBM Malaysia untuk menubuhkan syarikat teknologi tempatan lebih empat dekad lalu membuahkan hasil apabila Mesiniaga Berhad kini muncul sebagai antara peneraju penyelesaian teknologi maklumat (IT) negara.
Mesiniaga diasaskan oleh Ismail Sulaiman bersama Fauzi Omar dan Ramlah Mokhtar pada 17 Disember 1981. Berbekalkan pengalaman luas dalam industri teknologi maklumat, mereka menyahut aspirasi kerajaan ketika itu untuk memperkukuh penyertaan syarikat tempatan dalam sektor teknologi yang sebelum ini banyak dikuasai syarikat antarabangsa.
Pada peringkat awal, Mesiniaga memulakan operasi sebagai penjual produk pejabat IBM sebelum berjaya mentransformasikan perniagaannya kepada penyedia penyelesaian digital yang menawarkan pelbagai perkhidmatan teknologi kepada sektor awam dan swasta.
Transformasi tersebut bukan sesuatu yang mudah. Syarikat terpaksa menyesuaikan model perniagaan daripada penjualan perkakasan fizikal kepada pembangunan perisian dan penyelesaian digital yang lebih kompleks, di samping berdepan persaingan sengit dalam industri teknologi yang berkembang pesat.
Namun, kepimpinan pengasas serta keupayaan syarikat berinovasi membolehkan Mesiniaga terus berkembang. Kini, syarikat bertanggungjawab mengendalikan dan menyelenggara beberapa infrastruktur teknologi maklumat serta rangkaian kritikal negara.
Bagi memastikan kekal relevan dalam era pendigitalan, Mesiniaga turut memperkenalkan budaya AI-First Culture bagi meningkatkan kecekapan operasi dan mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.
Kejayaan syarikat turut terserlah apabila disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia serta memperoleh kontrak bernilai puluhan juta ringgit daripada Maybank Shared Services dan Pharmaniaga Logistics.
Selain itu, Mesiniaga turut menerima Malaysia Technology Excellence Awards menerusi pembangunan inovasi tempatan seperti LegalEye dan NetSysCare, sekali gus membuktikan visi pengasasnya untuk melahirkan sebuah syarikat teknologi Malaysia yang mampu bersaing di peringkat industri terus menjadi kenyataan.




