KOTA BHARU, 8 JULAI – Ketua Penerangan Pas, Fadhli Shaari mendedahkan bas antara pilihan pengangkutan utama pemimpin parti itu termasuk ke parlimen.
Beliau berkata, penggunaan pengangkutan awam lebih menjimatkan masa, wang dan tenaga.
“Bas Ekspress memang merupakan pengangkutan lazim bagi kami, sebahagian ahli-ahli parlimen PAS ketika sidang berlangsung selain kapal terbang atau keretapi jika ke Utara.
“Kenderaan ditinggalkan di Kuala Lumpur. Ia lebih menjimatkan masa dan tenaga sementara banyak lagi urusan lain memerlukan kewangan dapat dilunaskan,” katanya.
Kata Fadhli, beliau tidak berhasrat untuk mendedahkan perkara-perkara sebegitu kerana ia bukan satu kebanggaan.
“Tapi jika nak kata kami bermewah-mewah guna kereta peribadi yang mahal, itu peluru kapur lah… cuba lagi, katanya.
Terdahulu Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menafikan beliau memiliki kereta Mercedes ketika mana gambar dirakam di Pejabat Pas, baru baru ini.
Katanya kereta tersebut milik ahli PAS Kawasan dan hanya digunakan untuk bawa beliau dari Pejabat PAS ke lokasi program.
“Kereta itu bukan milik saya, saya tidak memiliki kereta Mercedes. Saya datang ke Gombak menaiki bas Naza Ekspress dari Kota Bharu jam 11 malam kerusi 8A dan tiba di TBG jam 5.30 pagi.
“Urusetia datang jemput dan bawa ke Pejabat PAS Hulu Klang untuk bersiap dan sarapan pagi seterusnya ke lokasi program,” katanya.




