JAKARTA, 6 JULAI ( Sinar Harian) – Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa menolak cadangan menjadikan Ibu Kota Nusantara (IKN) di Kalimantan Timur sebagai lokasi Pusat Kewangan Antarabangsa (PFI) kerana berpendapat kawasan itu masih terlalu sunyi dan belum sesuai untuk menempatkan hab kewangan bertaraf global.
“Mungkin tidak, (IKN) terlalu sepi,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Parlimen, Senayan, pada Khamis.
Beliau berkata, kerajaan masih meneliti beberapa lokasi yang berpotensi untuk pembangunan pusat kewangan khas itu, yang dijangka menjadi pemangkin dalam menarik lebih banyak pelaburan antarabangsa ke Indonesia.
Menurutnya, antara lokasi yang sedang dipertimbangkan ialah Bali, namun kerajaan belum membuat keputusan muktamad berhubung tapak yang akan dipilih.
Cadangan mewujudkan Pusat Kewangan Antarabangsa itu merupakan sebahagian daripada strategi Indonesia untuk memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan yang stabil dan selamat, khususnya ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik.
Sebelum ini, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memaklumkan bahawa kerajaan merancang membangunkan sebuah Pusat Kewangan Khas bagi meningkatkan daya saing ekonomi negara di peringkat antarabangsa.




